Friday 27 September 2013

Air Wudu Bukan Percuma


Seringkali semasa bersiap-sedia untuk bersolat Jemaah di masjid atau surau, ramai (walaupun bukan semua) orang akan membuka air paip dengan kuat, seolah-olah kita masih ada bekalan air seluas lautan Pasifik. 

Tak pernah terfikirkah ini adalah satu pembaziran? Tahniah kerana bersegera menunaikan Solat Fardhu, tetapi usahlah menambahkan dosa kita dalam melakukan perbuatan yang dicintai Allah SWT...

Di China misalnya, air bukan percuma. Di gambar ini, di tengah-tengah bilik wudu, ada tabung derma. Dalam maksud tersirat sebenarnya ia meminta para Jemaah untuk menderma supaya pihak masjid boleh membayar bil air. Kadang kala, salinan fotokopi bil air tertunggak akan digantung di atas kotak derma itu sebagai peringatan dan rayuan agar bersama-sama membantu masjid. Malah anda akan diminta membayar sekurang-kurangnya 5 Yuan (RM2.40) sebelum mandi sunat/hadas besar di situ. Ya, memang murah, tapi adakah kita pernah terfikir walau kos air itu pun semasa mengunakannya?

Mengikut pengalaman penulis yang belajar di sana, kelihatan kotak derma dalam bilik wudu ini telah menginsafkannya untuk berjimat cermat dan hanya guna yang secukupnya selepas pulang ke tanah air.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya” (Surah al-Isra', ayat 27).

Rasulullah juga bersabda dalam riwayat daripada al-Mughirah bin Syu'bah, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekahkan) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan kualiti Solat kita bukan saja dalam aspek semasa Solat, tetapi juga dari permulaan pertamanya, iaitu Wudu. 

Originally posted in MRM @ 24 March 2013

No comments:

Post a Comment