Friday 27 September 2013

Antara Mengenang & Menyembah


Perayaan Qing Ming (清明节) yang disambut hari ini bertujuan memberi peluang kepada ahli keluarga kaum Cina (terutamanya beragama Buddha / Tao) yang masih hidup untuk mengenang ahli-ahli keluarga tersayang yang telah sekian meninggal dunia. Biasanya mereka akan menziarahi tempat terakhir mendiang mereka berada, iaitu kubur / makam. 

Adat mengenang ini ditekankan dalam
 Konfusianisme iaitu budaya berbakti kepada orang yang lebih tua dalam keluarga. Terdapat beberapa versi dalam asal-usul tradisi ini. Antaranya berkisahkan maharaja China dinasti Han (tahun 206 sebelum Masihi) yang berjaya naik takhta, tetapi ibu bapanya telahpun meninggal dunia. Dengan tekad ingin berkongsi kegembiraan kejayaannya, baginda mengarahkan menteri-menterinya untuk mencari semula kubur mendiang ibu bapanya yang jauh di perkampungan. Setelah terjumpa, baginda terus membersihkan batu nisan kubur yang sekian terbiar akibat peperangan, lalu melutut sambil berkata, "Ibu bapaku! Anakmu telah pulang ke pangkuanmu!". Dari kisah ini, bermulalah tradisi menziarahi & membersihkan persekitaran kubur yang diamalkan rakyatnya hingga sekarang.

Bagaimana pula dengan batang colok (joss sticks/烧香), barang harian buatan kadbod dan kertas-kertas sembahyang yang dibakar?

Ya, itu bahagian keagamaan. Ia berfungsi sebagai alat menghubungkan silaturahim antara mendiang ahli keluarga dengan ahli yang masih hidup. Mengenang adalah akar tunjangnya, manakala upacara keagamaan adalah peralatan tambahan untuk mewarnai maksud tunjang ini.

Oleh itu, bagi individual Cina yang telah beriman kepada Allah SWT sebagai Tuhan Penciptanya dan Muhammad SAW sebagai contoh ikutan terbaik umat manusia, tinggalkanlah upacara keagamaan itu, dan kekalkanlah pegangan mengenang jasa mendiang dengan membantu membersihkan kubur bersama, sambil itu mendoakan dalam hati supaya ahli keluarga lain mendapat Hidayah. Manakala yang telah beriman tetapi belum mengumumkan keIslaman mereka kepada keluarga, dibolehkan memegang colok sambil menetapkan dalam hati bahawa hanya Allah SWT layak disembah. Untuk yang mempunyai mendiang ibu bapanya yang telahpun kembali ke agama fitrah, terpulanglah kepada mereka untuk melawat, kerana sesungguhnya, walau di mana jua kita boleh sahaja berdoa kepada Allah SWT untuk mengampuni dosa-dosa orang tua beriman mereka.

Diriwayatkan oleh 'Abdur Rahman bin Abi Laila:
Sahl bin Hunaif & Qais bin Sad sedang duduk dalam bandar Al-Qadisiya. Sebuah perarakan pengebumian sedang berlalu di depan mereka dan mereka berdua pun berdiri. Mereka diberitahu bahawa yang dikebumikan itu ialah seorang penduduk bukan-Muslim (yang mempunyai status perlindungan pemerintah Muslim). Mereka pun berkata, "Adanya perarakan pengebumian berlalu di depan Rasulullah s.a.w dan baginda pun berdiri. Apabila diberitahu bahawa itu adalah keranda orang Yahudi, baginda menjawab, "Bukankah dia juga adalah makhluk (yang mempunyai roh)?""
(Sahih Bukhari :: Buku 2 :: Jilid 23 :: Hadith no. 399)

Keutamaan menghormati ibu bapa sebagai sebahagian daripada kesempurnaan seorang individu ditekankan oleh Konfucius apabila beliau berkata:

弟子,入则孝,出则弟,谨而信,凡爱众,而亲仁,行有余力,则以学文。
"Seorang permuda perlu berkhidmat kepada ibu bapanya di rumah dan menghormati orang-orang tua di luar rumah (awam). Dia perlu sentiasa ikhlas dan jujur, menyayangi semua, tetapi juga merendah diri. Selepas mengamalkan semua ini, jika mampu, bolehlah belajar sastera dan seni." - petikan daripada kitab Analek / 论语

Dalam Islam sendiri, banyak ayat Al-Qur'an dan Hadith telah memberi keutamaan dalam perkara yang sama. Antaranya firman Allah SWT: 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَلِدَيْنِ إِحْسَنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا * وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."”
~Qur'an 17:23-24

Oleh itu, adalah amat penting perkara ini difahami demi membezakan adat dan agama ia.
Semoga petikan ini dapat memberikan pembaca sekalian satu gambaran jelas tentang perayaan ini dan dapat membantu revert yang menghadapi dugaan ini.

Info tentang colok (dalam bahasa Inggeris): http://lifemualaf.blogspot.com/2012/07/joss-stick-funeral-chinese-tradition.html

(Gambar hiasan dari www.cnchu.com)


Originally posted in MRM @ 31 March 2013

No comments:

Post a Comment